Saturday 3 March 2012

...mamu Zaini dlm kenangan...






Md Zaini dalam kenangan.


Tanggal 19 Feb 2012 jam 8.15pm seluruh keluarga telah menerima berita yang mengejutkan, bagai tsunami melanda. Md Zaini bin Abd Hamid ditimpa kemalangan, satu letupan tempat dia bekerja menyebabkan seluruh badannya melecur teruk, hampir 90%. Dengan sekelip mata Hospital Besar Pulau Pinang dikunjungi kaum keluarga, sahabat handai jauh dan dekat terus berada di sana. Aku terkedu melihat ketabahan hati seorang insan yang bergelar ibu, melihat tubuh anaknya yang terbakar. Ibu ini dengan penuh keimanan dan kepasrahan, mengangkat kedua belah tangan dan linangan air mata telah berkata, "Ya Allah, jika inilah takdirMu terhadap anakku, aku redha, aku rela Ya Allah. Dia anak yang baik, Kau tempatkannya ke dalam syurgaMu bersama para syuhadah." Seketika kemudian datang pula si bapa yang terkejut melihat keadaan puteranya. Dia pun terduduk di atas kerusi roda sambil terdiam. Suasana di hospital menjadi riuh-rendah dengan keluarga, sahabat handai tua dan muda tidak dapat menahan sebak. Sekujur badan yang tidak bermaya lagi ditolak ke bilik operation dan terus ke bilik ICU. Doktor memberi tempoh 24 hingga 48 jam sahaja. Dia sudah tidak ada harapan sembuh. 20 Feb lebih kurang jam 5.30 petang, kami digemparkan dengan berita kematiannya. Tapi Tuhan masih sayangkan ibunya - memberi masa lagi untunya menatapi wajah anak bongsunya ini. 21 Feb doktor sekali lagi memberi masa sehingga 5 hingga 6 jam lagi. Aku berada disisinya bersama ibu yang tabah, sabar, penuh keimanan dan pasrah. Aku melihat ibunya mengusap dagunya penuh dengan kasih sayang. Aku pun turut mengusap dagunya - aku rasa tajam - rupanya janggut baru sedang tumbuh. Ibunya tidak berhenti-henti mengusap dagu anak kesayangannya itu. Aku sedih melihatnya. Surah-surah Yassin berkumandangan disisi katilnya, suara-suara sebak sedang membaca Yassin. Lebih kurang jam 5.30 petang, kulihat nafasnya hampir terputus. Sebak dada ini melihat saat kematiannya. Aku terus keluar dan menanti di koridor. Sebentar kemudian, suamiku datang memberitahu bahawa Md Zaini telah pergi untuk selamanya. Kau pergi menyahut panggilan Illahi ketika masih disayangi oleh semua saudara mara, sahabat handai dan kaum keluarga. Syahidlah engkau, nantikan ibumu di pintu syurga. Kita manusia hanya dipinjamkan dan akan dijemput pulang bila-bila masa sahaja. Ingatlah kita - Keranda itu untuk orang mati. Bukan untuk orang tua atau orang muda. Bak kata orang - buah tua pun luruh, buah muda pun luruh, buah putik pun luruh. Hilanglah sebutir permata yang menerangi 57, Jalan Gopeng. Lampu hati padam tak bercahaya. Semoga rohnya akan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan bidadari yang comel akan bersamamu. Kepada adikku Asmah dan Hamid, sabar dan tabahkan hati menempuh hari yang mendatang. Sesungguhnya kita tiada daya dan upaya melainkan berdoalah semoga amanlah anak-anak kita di sana. Amin. Al-fatihah.

Coretan Zainab Md Yusoff, Jumaat, 2 Mac 2012, 9.00 malam.


* Nani...nani kuat..! =')